TANDA KENANGAN...Penolong Jurutera bahagian JKR Sibu, Teo Nguong Leong menyampaikan cenderahati kenangan kepada Rezal selepas menyampaikan taklimat denggi kepada kakitangan JKR Sibu pagi tadi. Foto : Reduan
SIBU - Orang ramai perlu membabitkan diri dalam aktiviti pembersihan secara gotong-royong secara aktif sama ada di kawasan kediaman atau di tempat kerja untuk menghapuskan sarang pembiakan nyamuk aedes.
Pegawai Kesihatan Sains mengenai serangga Rezal Bohari berkata, masyarakat tidak boleh mengharapkan Kementerian Kesihatan mencegah wabak denggi itu sepenuhnya.
"Persepsi masyarakat sekarang bahawa penyemburan asap dapat menghapuskan pembiakan nyamuk aedes secara total adalah salah kerana ia hanya berkesan untuk tempoh tertentu sahaja," katanya pada sesi taklimat mengenai wabak denggi bersama kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Sibu di sini pagi tadi.
Rezal berkata sehingga kini tiada ubat dan vaksin untuk melindungi manusia daripada dijangkiti demam denggi dan setakat ini orang ramai boleh menggunakan losen penghalau nyamuk, semburan aerosol dan ubat nyamuk sebagai langkah pencegahan.
"Punca berlakunya kes denggi di seluruh negara pada setiap tahun adalah faktor cuaca dan sikap masyarakat sendiri yang tidak melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan sekeliling hingga menyebabkan tempat pembiakan nyamuk aedes semakin meluas di seluruh negara.
"Nyamuk aedes pada kebiasaannya akan bergerak aktif dan mencari mangsanya antara pukul 5 pagi hingga 7 pagi dan 5 petang hingga 7 malam, lokasi kawasan tumpuan aedes ini adalah luas dan paling membimbangkan orang ramai di kawasan tumpuan awam selain kawasan kediaman turut berisiko tinggi digigit nyamuk aedes," katanya.
Pada sesi itu pelbagai perkara dibincangkan mengenai wabak denggi, langkah-langkah pencegahan dan peranan yang perlu dilakukan oleh agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan dan masyarakat setempat.
Program setengahari itu adalah aktiviti anjuran Jabatan kesihatan dengan kerjasama JKR Sibu.