
Sehingga ada yang duduk di keliling hidangan, kemudian bangun meninggalkannya dan pergi menunaikan solat. Amalan seperti itu dirasakan sesetengah pihak sebagai lebih mengikut kehendak agama.
Merujuk kepada hadis Nabi SAW, kita dapati amalan itu adalah silap. Daripada Anas bin Malik RA, Rasulullah SAW bersabda: “Apabila telah dihidangkan makan malam, maka mulakanlah makan sebelum kamu menunaikan solat Maghrib, dan jangan kamu tergopoh-gapah semasa makan malam kamu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Dalam hadis lain daripada Abdullah bin Umar, Baginda SAW bersabda: “Apabila dihidangkan makan malam seseorang kamu, sedangkan solat (jemaah) telah didirikan, maka mulailah dengan makan malam. Janganlah dia tergopoh-gapah sehinggalah dia selesai.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Hikmah arahan Nabi Muhammad SAW dalam mendahulukan makan agar pemikiran kita tidak diganggu ketika solat dengan ingatan kepada makanan yang dilihat terhidang di hadapan mata sebelum bersolat. Ini boleh mengganggu kekhusyukan solat seseorang.
Golongan ulama menyatakan dimakruhkan solat setelah makanan terhidang di hadapan mata. Ini merangkumi semua solat, bukan khusus pada solat Maghrib sahaja. Kata al-Imam an-Nawawi (meninggal 676H) dalam Sharh Sahih Muslim mengulas hadis berkaitan: “Dalam hadis tersebut dimakruhkan solat apabila terhidangnya makanan yang hendak dimakan kerana ia boleh mengganggu hati dan menghilangkan kesempurnaan khusyuk.”
Ini bukan bererti kita mengutamakan makan daripada solat. Sebaliknya kita makan terlebih dahulu kerana ingin menjaga kekhusyukan solat.
Al-Imam Ibn Hajar al-`Asqalani (meninggal 852H) dalam Fath al-Bari memetik ungkapan Ibn Jauzi (meninggal dunia 597H): “Ada orang menyangka mendahulukan makanan sebelum solat adalah bab mendahulukan hak hamba ke atas hak Tuhan.
Sebenarnya bukan demikian, tetapi ini adalah menjaga hak ALLAH agar makhluk masuk ke dalam ibadahnya dengan penuh tumpuan. Sesungguhnya makanan mereka (sahabat) adalah sedikit dan tidak memutuskan mereka daripada mengikuti solat jemaah.”
Oleh itu, makan dahulu setelah makanan terhidang kemudian baru bersolat adalah sunnah Nabi Muhammad SAW. Maka apabila makanan terhidang, ibu bapa hendaklah memberikan anak makan terlebih dahulu ketika berbuka, kemudian barulah bersolat.
Melakukan susunan yang seperti itu, mendapat pahala. Namun makanlah dengan kadar yang diajar oleh Islam, bukan makan sehingga mengah lalu gagal bersolat dengan sempurna.
Cara untuk mengelakkan kemakruhan ini adalah elak menghidangkan makanan terlebih dahulu sebelum solat. Elakkan mata terpandang kepada makanan yang telah dihidangkan.
Selepas solat, barulah dihidangkan. Namun, jika kelaparan itu kuat, bau makanan masuk ke hidung, sehingga ingatan kepada makanan sangat kuat sekali belum melihatnya, hendaklah dia makan terlebih dahulu.
Tidak makruh bersolat sekalipun makanan sudah terhidang jika keinginan kepada makanan tiada. Ini kerana punca (‘illah) larangan bersolat semasa makanan terhidang ialah agar tidak mengganggu khusyuk.
Jika seseorang memang tiada keinginan kepada makanan, sudah pasti tidak mengganggu khusyuk sekalipun makanan sudah terhidang. SUMBER : SINAR HARIAN