Sejak akhir-akhir ini, orang ramai hangat berbicara sebagai respons kepada cadangan pelaksanaan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang akan mengarahkan pihak berkuasa mendenda peminta sedekah di sekitar ibu kota.
Menjadikan isu ini lebih kontroversi, pemberi sedekah akan turut didenda jika didapati memberi wang kepada pengemis di sekitar ibu kota.
Rata-rata ramai tidak bersetuju dan mengatakan langkah itu ‘kejam’ dan boleh mematikan budaya bersedekah seperti diunjurkan oleh Islam kepada penganutnya.
Dalam perkara ini, saya lebih terbuka dengan melihat cadangan pelaksanaan ini dalam konteks lebih luas. Ada baik dan buruknya jika cadangan ini dilaksanakan.
Di negara berkenaan, pengemis tidak bersifat pasif, sebaliknya aktif meminta sedekah daripada orang ramai. Satu ketika di Jordan kereta yang saya naiki berhenti di lampu isyarat, pintu cermin kereta saya diketuk seorang wanita Arab Badwi sambil menunjuk isyarat meminta wang untuk makan.
Begitu juga di negara jiran kita, boleh dikatakan hampir di setiap tempat lampu isyarat, ada saja yang mengetuk cermin untuk meminta wang.
Pengemis pula daripada pelbagai golongan iaitu kanak-kanak, remaja, dewasa hinggalah orang tua yang bertongkat.
Tidak kurang juga yang menggendong anak kecil. Ada juga yang memegang saya minta supaya diberi sedikit wang dan tidak kurang juga tidak mahu berganjak daripada mengekori saya hinggalah wang diberi kepadanya.
Sepanjang menyaksikan gelagat mereka, hati saya tersentuh dan bersimpati. Bagaimana sukarnya mereka untuk meneruskan kelangsungan hidup dalam dunia yang semakin hari semakin mencengkam dengan pelbagai kenaikan kos sara hidup.
Di tengah bandar raya yang megah dengan bangunan besar di negara ini, masih ada yang duduk merempat di tepi sungai yang kotor, ada juga yang duduk di tepi landasan kereta api dan tidak kurang juga tidur di kaki lima serta perhentian bas.
Kehidupan pengemis di sana saya rasakan lebih mencabar berbanding pengemis di sini. Ini kerana di sini, masyarakat sudah ‘lali’ dengan pemandangan dan budaya mengemis. Mungkin kerana jumlahnya terlalu ramai, mengemis bukan ‘profesion’ mudah di sana.
Berbeza di Malaysia yang saya rasakan belum mencapai tahap ekstrem tetapi dalam ‘perjalanan’ menuju ke peringkat sama jika tiada undang-undang atau alternatif dijalankan bagi mengatasinya.
Apatah lagi, bangsa Melayu terkenal dengan sifat pemurah dan tidak berkira. Mereka melihat ‘potensi’ ini untuk meneruskan ‘survivor’ mereka di negara kita.
Sejak dua tiga tahun ini, ada situasi yang sangat asing untuk kita lihat berlaku di depan mata. Situasi ini boleh dilihat di sekitar ibu negara apabila ada peminta sedekah yang saya percaya dalam kalangan warga asing meminta sedekah dengan menjual pen dan tisu di hentian lampu isyarat.
Dalam masa seminit atau kurang, mereka berjalan dari satu kereta ke satu kereta meraih simpati meminta wang. Sepanjang pemerhatian saya, dalam tempoh itu ramai juga membeli ‘produk’ mereka, tidak kurang juga yang bersedekah, termasuk saya, kerana kasihan melihat mereka berjalan di bawah terik mentari.
Namun persoalan yang timbul ialah, dari mana datangnya pengemis warga asing? Bagaimana dan atas dasar apa mereka memasuki negara kita. Jangan salah sangka, saya bukan bersikap negatif terhadap golongan itu.
Saya percaya sebahagian daripada mereka tidak mempunyai cara lain untuk mencari rezeki walaupun setelah melakukan pelbagai ikhtiar.
Namun, sebahagian daripada mereka mengambil kesempatan atas sifat pemurah rakyat di negara ini sebagai jalan mudah untuk mendapatkan wang.
Banyak lagi isu perlu dibincangkan apabila berbicara mengenai perkara ini. Ibarat menarik rambut di dalam tepung, rambut tidak putus dan tepung tidak berselerak.
SUMBER : MyMetro