Melangkah ke bulan Ramadan bererti memasuki gerbang tarbiah yang penuh dengan ujian dan latihan. Pada bulan ini, umat Islam berpusu-pusu mengimarahkan masjid untuk berwirid, bertadarus, beriktikaf dan pastinya bertarawih.
Amat seronok melihat suasana kemeriahan masjid sepanjang Ramadan apabila berduyun-duyun orang memenuhi setiap ruang masjid. Namun, di sebalik kemeriahan itu, ada perkara perlu diberi perhatian.
Antara insiden di masjid sama ada sedar atau tidak ialah kehadiran jemaah bersama anak kecil yang ada kala mengundang rasa kurang senang dalam kalangan jemaah khususnya apabila tidak dapat memberi tumpuan kepada ibadah hingga hilang khusyuk.
Pihak pengurusan masjid tidak boleh menghalang ibu bapa daripada membawa anak ke masjid kerana ini proses pendidikan awal dan semaian perasaan cintakan masjid. Namun, perlu ada kaedah terbaik memastikan kehadiran kanak-kanak tidak mendatangkan fitnah kepada masjid dan jemaah.
Pernah berlaku, seorang jemaah lelaki membawa anak perempuan berumur lima tahun bersama berdiri di sebelahnya dalam saf hadapan jemaah lelaki.
Ada pula bapa yang membawa anak kecil dan mengambil kedudukan di hujung saf. Malangnya, tiba-tiba anak melepas qada hajat menyebabkan bau kurang menyenangkan kepada jemaah lain. Bagaimanapun, bapa tadi tidak melakukan tindakan sepatutnya.
Itu belum dikira kanak-kanak yang dibawa ke masjid dan ditempatkan di saf paling belakang. Maka sesama mereka terhasil keriuhan yang pastinya mengganggu tumpuan jemaah dewasa. Ini sekadar sebahagian suasana berlaku di masjid membabitkan jemaah kanak-kanak.
Pihak masjid perlu kreatif
Justeru, bagi memastikan semua ahli jemaah tidak terganggu ketika menunaikan ibadah, pihak pengurusan masjid perlu mengambil langkah kreatif antaranya, menyediakan bilik nurseri yang dibuka setiap waktu solat dan diuruskan oleh sukarelawan bagi memastikan keselamatan kanak-kanak.
Mendirikan dua ruang solat berbeza, tingkat atas untuk dewasa, manakala bawah untuk ibu bapa bersama-sama kanak-kanak. Menguatkuasakan peraturan hanya kanak-kanak berumur tujuh tahun atau yang mumaiyiz saja boleh berada di ruang solat dewasa.
Pengurusan masjid boleh mewujudkan aktiviti khas kanak-kanak ketika solat berlangsung seperti mewarna, yang dapat menarik perhatian mereka.
Pihak pengurusan masjid tidak boleh menghalang ibu bapa daripada membawa anak ke masjid kerana ini proses pendidikan awal dan semaian perasaan cintakan masjid. Namun, perlu ada kaedah terbaik memastikan kehadiran kanak-kanak tidak mendatangkan fitnah kepada masjid dan jemaah.
Maka kita perlu berani mengorak langkah berubah dengan menjadikan masjid mesra kanak-kanak supaya semua jemaah selesa dalam beribadah.
Penulis ialah Timbalan Pengarah Institut Pemikiran Tun Dr Mahathir Universiti Utara Malaysia
Sumber : BH