Bismillahirrahmanirrahim
Allahu Akhbar
Allahu Akhbar
Allahu Akhbar
Walillahilhamd
Tuan- tuan dan Puan-puan, Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah sekalian,
Alhamdulillah, marilah kita panjatkan kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala kerana dengan limpah kurnia serta izin-Nya telah memberi peluang sekali lagi kepada kita untuk meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun 1435 Hijrah dalam keadaan meriah dan gembira.
Kita juga bersyukur kehadrat Allah S.W.T. kerana dapat menjalani ibadah puasa dan merayakan hari yang mulia ini dalam keadaan negara kita yang aman dan bebas daripada sebarang bencana buruk.
Kita di sini harus bersyukur dengan nikmat yang diberikan dan telah berjaya melawan hawa nafsu dalam menjalani perintah Allah S.W.T. di samping menghadapi cabaran-cabaran lain.
Berpuasa pada bulan Ramadhan bukan semata-mata kita melaksanakan ibadah yang wajib tetapi ia juga diharapkan dapat membantu memberi impak yang positif untuk membentuk peribadi kita menjadi kakitangan awam yang mulia dan beriman kepada Allah S.W.T.
Di kesempatan ini juga sempena dengan kedatangan hari yang mulia ini, marilah kita bersama-sama bertekad untuk memperbaiki dan memantapkan lagi hubungan kita dengan kekuatan untuk bergerak bergandingan sebagai satu pasukan yang padu dengan penuh keikhlasan dalam menjalankan tugas.
Semoga Allah S.W.T akan menganugerahkan natijah yang lebih baik dan mendapat keberkatan dari-Nya.
Pada bulan yang mulia ini marilah kita bersama menghulurkan tangan untuk bermaaf-maafan dengan melupakan perkara yang lalu ”buang yang keruh dan ambillah yang jernih”. Nun jauh di hadapan sana kita mempunyai tugasan yang mencabar dan perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan amanah kerana Allah S.W.T bagi merealisasikan harapan rakyat.
Kepada warga JKR Sibu, di sini saya ingin menasihatkan supaya kita semua jangan terlalu ghairah dalam berbelanja sehingga melupakan diri dan membazir serta melakukan perkara-perkara yang merugikan. Oleh itu berbelanjalah secara berhemah dan berjimat cermat.
Sebagaimana yang sediamaklum, telah menjadi kebiasaan kepada semua rakyat Malaysia di seluruh negara ini akan bercuti panjang pulang ke kampung halaman untuk meraikan hari raya.
Saya yakin semua warga JKR Sibu juga akan mengambil peluang ini untuk pulang bertemu sanak-saudara dan sahabat-handai untuk bertanya khabar serta memohon kemaafan. Namun begitu, mulakan perjalanan yang terancang tanpa terburu-buru sehingga menyebabkan berlaku kejadian yang tidak diingini.
Saya mendoakan kehadrat Allah S.W.T agar memberikan keselamatan kepada semua warga JKR. Justeru itu, amalkanlah sikap sentiasa berhati –hati semasa memandu dalam perjalanan menuju ke destinasi masing-masing.
Akhir kata, saya dan keluarga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri, maaf zahir dan batin kepada seluruh warga Jabatan Kerja Raya Bahagian Sibu.
Sekian dari saya dan sudahi dengan ucapan Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
DENGAN INGATAN TULUS IKHLAS
SAH RAIDUAN BIN ZALUHA
PENGERUSI PKIJ SIBU