GAMBAR HIASAN
Sebelum seseorang itu mengadakan rumah terbuka, mereka harus memikirkan beberapa perkara termasuk menetapkan tarikh rumah terbuka kerana mengikut situasi semasa atau terpaksa disebabkan permintaan, memikirkan menu akan disediakan, kos, persiapan hiasan dalaman rumah untuk tampak menarik buat tetamu, senarai jemputan, kelengkapan serta bentuk jemputan sama ada pengumuman di tempat kerja dan panggilan telefon ataupun melalui laman sosial.
Itu semua perkara yang perlu difikirkan. Nampaknya bukan mudah dan murah untuk seseorang mengadakan rumah terbuka. Setidak-tidaknya RM500 harus diperuntukkan. Persoalannya, adakah perlu kita anjurkan majlis rumah terbuka untuk meraikan tetamu sempena Aidilfitri ini? Sebenarnya ia bergantung kepada individu itu sendiri.
Kalau dekad lalu, tak perlu pun rumah terbuka. Apa yang menjadi amalan dan budaya kita adalah ziarah saja. Sekalipun tidak banyak duit raya dikumpul si kecil, ternyata amalan berziarah di Aidilfitri merapatkan hubungan antara penduduk kampung atau sesuatu kejiranan.
Golongan tua berpeluang mengenali golongan muda yang mungkin anak rakan mahupun kenalan mereka manakala golongan muda pula mengenali ibu bapa rakan sekolah mereka melalui kunjungan berkenaan. Apabila pulang ke kampung halaman, acara wajib ibu bapa ialah mengunjungi setiap rumah saudara-mara dan rakan sekampung.
Membawa anak ketika berhari raya ke rumah sanak-saudara dan rakan dapat memupuk nilai persaudaraan, jalinan ukhuwah dan kemesraan. Biarpun tanpa temu janji, tetamu dilayan sepenuh perhatian sehinggakan dibawa ke dapur dan dijamu ketupat serta rendang yang sebenarnya dimasak untuk santapan keluarga. Tetamu dilayan dengan baik dan penuh kemesraan.
Perkataan paling biasa kita dengar ketika itu ialah pintu rumah sentiasa terbuka untuk sesiapa saja datang berkunjung pada Aidilfitri. Walaupun tak rapat, tetapi Aidilfitri lesen untuk kita merapatkan hubungan tidak rapat itu dan kekal menjadi saudara sesama kita.
Selepas budaya rumah terbuka menular dalam kalangan masyarakat kita, amalan kunjung mengunjung semakin kurang dipraktikkan. Jika tidak mengadakan rumah terbuka, kuranglah bilangan tetamu yang hendak datang beraya kerana masing-masing lebih gemar menunggu rumah terbuka.
Kononnya tuan rumah akan lebih bersedia menerima tetamu dengan menyediakan pelbagai juadah. Malah, rumah terbuka akan menghimpunkan lebih ramai teman lain atau tetamu yang mungkin kenalan kita. Kadangkala, apabila tiba-tiba kenalan menghubungi kita memberitahu ingin datang berhari raya, terasa janggal jika kita hanya mempelawa mereka makan biskut raya dan tidak menyediakan juadah berat atau baru dimasak seperti mi goreng.
Jika ditimbang tara, tiada salahnya jika biskut raya yang dihidangkan kepada tetamu kerana tujuan sebenarnya kita menziarah adalah untuk bermaaf-maafan dan bukannya nak makan. Lagipun satu masa dulu, memang itulah juadah kita sediakan untuk tetamu yang datang.
Masalahnya, adakah trend mengadakan rumah terbuka menghakis amalan berziarah di Aidilfitri yang selama ini dilakukan umat Islam dan masyarakat Melayu?
Rumah terbuka sebenarnya bukan tradisi kita kerana hari lebaran atau Aidilfitri adalah hari kemenangan kita melawan nafsu di bulan Ramadan. Kebiasaan orang Melayu menjadikan Aidilfitri sebagai hari berkumpul sanak-saudara, saling bermaafan serta menikmati juadah disediakan. Amalan bermaafan di pagi raya biasanya dilakukan dalam kalangan Melayu Islam.
Tidak pasti saat bermulanya amalan mengadakan rumah terbuka sempena perayaan. Bagaimanapun, apa yang ketara, ia kini menjadi satu fenomena di Malaysia. Rumah terbuka bukan saja diadakan untuk perayaan Aidilfitri, tapi juga rumah terbuka Tahun Baru Cina, Deepavali dan Krismas.
Hari raya pintu akan dibuka dan tuan rumah akan menerima siapa saja yang berkunjung tanpa diundang dan tanpa ada temu janji. Bagaimanapun, rumah terbuka hanya dibuka kepada kenalan, teman atau saudara yang diundang khusus melalui sistem pesanan ringkas, e-mel, laman sosial Facebook, telefon mahupun kad.
Mereka yang tidak diundang tidak akan menghadirkan diri. Jadi, seolah-olah rumah terbuka ini seperti satu jamuan khusus. Hari ini, rumah terbuka sudah menjadi suatu trend yang dibuat bukan saja di kota, tapi juga di kampung, Mereka mengadakan rumah terbuka ketika pulang berhari raya di kampung dan pastinya rumah di bandar tidak dikunjungi teman sepejabat atau tetangga satu taman atau satu daerah.
Melihat di sudut positif, mengadakan rumah terbuka memudahkan mereka menjamu teman pada suatu waktu yang ditetapkan dan waktu lain dapat diisi dengan kegiatan lain kerana seperti sedia maklum, kita kini sering diburu waktu. Apabila mengadakan rumah terbuka, pastinya mereka sudah menganggarkan berapa ramai tetamu yang akan diundang dan jenis makanan yang akan dihidangkan.
Menyediakan juadah untuk tetamu biarlah mengikut kemampuan diri dan elakkan berlebihan, tapi jangan pula sampai makanan disediakan tidak mencukupi kerana ini akan memalukan tuan rumah sendiri. Selalunya yang menjadikan makanan disediakan tidak mencukupi ialah tetamu yang diundang kadangkala membawa semua ahli keluarga.
Rumah terbuka dan undangan terbuka ini harus diterima dengan hati terbuka juga. Hati yang terbuka membolehkan sifat saling memaafkan terjadi di samping mengukuhkan hubungan dan ukhuwah. Asas ini penting kerana kita memberi makna rumah terbuka bukan sekadar majlis makan saja.
Hati yang terbuka bermaksud ziarah di rumah terbuka dengan hati ikhlas. Kesibukan harian sama ada berniaga dan bekerja pada hari selain bulan Syawal menyebabkan perhubungan berlaku dengan alat telekomunikasi saja. Justeru hadir di rumah terbuka bukan saja kita raikan tuan rumah, tapi bertemu dengan orang lain dan menyebabkan silaturahim terjadi.
Semangat rumah terbuka dan saling meraikan ini harus berlaku juga pada bulan lain bila kesempatan mengizinkan. Tradisi ziarah sahabat handai dan rakan taulan harus membudaya bukan hanya pada waktu Syawal saja.
Secara keseluruhan, rumah terbuka bukan tradisi orang Melayu, tapi masih mempunyai nilai baik dan berfaedah. Kalau dilihat dari perspektif agama pun, Islam tidak menolak apa saja yang dianggap baik asalkan tidak bertentangan dengan syarak. Untuk menganjur rumah terbuka, terpulang kepada kemampuan tuan rumah asalkan tidak dengan niat untuk menunjuk-nunjuk atau bersaing dengan orang lain.
Jika kita lihat, setiap hujung minggu sepanjang Syawal terdapat banyak undangan rumah terbuka. Ada kalanya, ada empat hingga lima undangan sehari hinggakan tidak mampu memenuhi semuanya. Pelbagai menu dihidang tuan rumah tidak mampu ditolak, tapi seharusnya hasrat memenuhi keinginan mata dan nafsu makan dikekang supaya pihak yang menerima undangan tidak hanya merehatkan enjin tubuh pada bulan puasa, sebaliknya bekerja keras memproses makanan di bulan Syawal.
SUMBER ARTIKEL : MyMetro